10 PETANDA DIA JODOH KITA.......
Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu
menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan
menolongmu dan meneguhkan
kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)
Gunakan seluruh pancaindera
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh
Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita
mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita?
Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk
mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk
berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi
mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua
manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama
dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan
emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila
bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan
cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang
ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang
diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia
adalah jodoh kita.
1.Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak
berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara
percakapan, cara ketawa serta cara makan dan
minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal
ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang
selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon.
Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia
sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja
dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup
kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan
jodoh kita.
2.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit
pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada
diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya.
Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi
pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa
senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan,
terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa
dengannya. Tidak kira siang ataupun malam,
ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3.Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia
tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan
dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang
mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita
sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang.
Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai
kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung.
Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga
sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu
menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia
menjadi pasangan hidup kita.
4.Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak
menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang
dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan
perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat
mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi
kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi
milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi
faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila
dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada
berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur,
semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran
yang disulami dengan kesetiaan membuahkan
percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik
pilihan.
5.Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri.
Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat
mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita
mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih,
adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi
mereka yang berjodoh, sifat saling percaya
mempercayai antara satu sama lain timbul dari
dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat
apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada
kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu
lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita
pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah
melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah
individu yang memperoleh kedua-duanya.
6.Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan
kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia
perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan
kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu
perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi
membantu pasangan dan meringankan tugas
masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia
dapat melalui semua ini dengan melakukannya
bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan
semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita
senang melakukannya bersama. Ini penting kerana
ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa
hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup
bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban
tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini
menyusahkan?
7.Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah
memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia
bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia
menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia
menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam
sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira
ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia
juga bersedia mengalami pasang surut dalam
percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan
tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga
sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa
bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka,
di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai
menjadi pasangan hidup kita.
8.Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika
ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna
daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki
kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang
bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu
menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia
memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk
memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan
kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan
keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia
bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua
hari, dia tidak menghalang kita daripada
melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima
kelemahan dan sifat buruk masing-masing,
memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9.Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia
dikurniakan Allah deria keenam yang dapat
mengetahui dan memahami perasaan
pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat
saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia
juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain
dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada
situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan
hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia
ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan
buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan
yang maha berkuasa.
10.Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah
SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini
dan skripnya ditulis oleh yang maha esa.
Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai
pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak
hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita
melakukan sembahyang Istikharah dan memohon
supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah
dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia
pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak,
tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini
adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di
dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah
kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di
dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah
kekal selamanya.
No comments:
Post a Comment